Sunday, April 13, 2008

Jika Pemerintah Bertaubat Dengan Taubat Nasuha..

Jika Pemerintah Bertaubat Dengan Taubat Nasuha..Posted on Apr 13, 2008 under Ibadat
Kita semua wajar bersikap adil. Pilihanraya telah pun berlalu. Kita mengundi untuk kebaikan negara. Kita inginkan perubahan ke arah yang lebih positif, adil dan telus. Mesej rakyat kepada parti-parti politik dalam perkara tersebut sudah pun difahami oleh mereka.
Hari ini usaha-usaha ke arah hasrat tersebut kelihatannya sedang giat dilaksanakan. Kerajaan pusat juga telah merangka berbagai cadangan dan gagasan agar ketelusan dan keadilan dapat dilaksanakan. Demikian juga sesetengah kerajaan negeri yang baru dan yang lama. Sokonglah usaha-usaha yang baik serta berikanlah kritikan yang membina.
Politik bukan untuk membalas dendam atau ruang mencurahkan emosi yang tidak sudah-sudah. Sebaliknya, berpolitiklah untuk keadilan dan kebahagiaan kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Malanglah kita orang Islam apabila berbalah, melampaui batas. Sedangkan Nabi s.a.w bersabda: “Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dukacitalah kita ini, jika dalam percaturan politik kita umat Islam, ‘orang lain’ yang mendapat banyak manfaat dan berjaya memperolehi berbagai tuntutan, sedangkan kita hanya menang ‘tuduh menuduh, bertengkar, bermasam muka, gelar menggelar dan segala macam racun yang lain. Ketika orang lain yang semalamnya bagaikan musuh yang sengit, hari ini sedang berpelukan meraikan kejayaan memperolehi segala macam tuntutan, kita masih lagi bagaikan‘sedang mengasah parang’ untuk meneruskan kematian.
Tuhan sentiasa membuka pintu taubat untuk insan yang bersalah berubah kepada yang lebih baik. Bila-bila masa sahaja taubat itu terbuka apabila timbulnya keinsafan dan kesedaran. Mungkin kesedaran dan keinsafan itu timbul hasil dari nasihat, atau kejadian dan peristiwa tertentu. Kadang-kala insan yang begitu jahat, berubah menjadi insaf disebabkan ketakutan atau penderitaan tertentu, atau peristiwa trajis yang meleburkan keegoannya.
Tidaklah penting apa pun sebab keinsafan itu lahir. Apa yang penting bagaimanakah keinsafan itu dihayati. Maka insan yang insaf disuruh bertaubat dengan taubat yang sebenar atau disebut sebagai taubah nasuha. Allah menyebut dalam Surah al-Tahrim ayat 8 : (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ” taubat nasuha”, Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai..
Terlaksananya taubat yang sebenar itu dengan seseorang insan menyesali kesalahannya, memohon keampunan daripada Allah dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Jika kesalahan itu membabitkan insan yang lain, maka dia hendaklah membetulkannya dengan mengembalikan hak yang diambil, atau menafikan tuduhan yang dilemparkan.
Jika itu berlaku, maka mereka akan insan tersebut janji Allah dalam firmanNya: (maksudnya) “Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal soleh, maka mereka itu Allah akan gantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Furqan: 70).
Saya ingin katakan bahawa peristiwa pilihanraya yang lepas, perkara yang pertama yang mesti dilakukan oleh pihak pemerintah bagi mengeluarkan diri semua dari krisis dan kegawatan politik yang saban hari mengganggu kita semua adalah dengan cara bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha. Segala kesalahan, ketidakadilan, ketidaktelusan, kecuaian atas tanggunjawab yang Allah amanahkan selama ini hendaklah benar-benar insaf dan memohon ampun daripada Allah.
Kedua; hendaklah berazam untuk tidak mengulanginya lagi pada masa hadapan.
Ketiga: jika ada hak rakyat yang dizalimi, kembalikan hak mereka. Jika ini dilakukan, percayalah kepada rahmat Allah yang akan melimpahi negara dan kepimpinan akan terus dapat keberkatan dalam pemerintahan yang akan diteruskan. Dengarlah kata-kata Nabi Hud a.s kepada kaumnya seperti dalam Surah Hud ayat 52: (maksudnya) “Dan wahai kaumku! mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa”.
Inilah penawar bala yang telah dibuka rahsianya oleh Nabi Hud a.s., dan inilah juga yang pernah disebut oleh Nabi Nuh a.s. sebelum itu kepada kaumnya. Kata Nabi Nuh seperti dalam Surah Nuh ayat 10-12: (maksudnya) “Sehingga Aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya)”.
Ayat-ayat ini menjelaskan bahawa memohon ampun daripada Allah membolehkan rahmat dan keberkatan diturunkan. Allah menambahkan dengan taubat rezeki yang mencurah-curah, kekuatan, harta dan anak-pinak. Maka bertaubatlah wahai para pemerintah, agar kedamaian, ketenteraman dan kemakmuran akan dikecapi di bawah pemerintahan anda.
Pasca politik kini adalah ujian untuk kepimpinan negara. Bukan masa untuk menunjukkan ego, atau mencari-cari di mana silap orang lain, tapi melupai dosa-dosa politik yang pernah dilakukan. Masa ini sepatutnya kepimpinan negara di setiap peringkat menunjukkan tadarru’ iatu benar-benar merendah diri kepada Allah dan memohon keampunan daripadanya.
Kita ingin mendengar kepimpinan memohon kemaafan kepada rakyat di atas segala kesilapan yang pernah berlaku sepanjang pentadbiran yang lalu. Inilah yang akan mendatangkan keberkatan dan menimbulkan rasa hormat rakyat. Ingatlah amaran Allah apabila sesuatu bala atau ujian ditimpakan kepada sesuatu kaum dalam firmanNya: (maksudnya) “Dan Demi sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul-rasul kepada umat-umat yang terdahulu daripadamu (lalu mereka mendustakannya), maka Kami seksakan mereka dengan kesusahan dan penyakit, supaya mereka merendah diri (insaf dan bertaubat).
Maka Alangkah eloknya kalau mereka merendah diri (insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? tetapi yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan. Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala perkara (kemewahan dan kesenangan), sehingga apabila mereka bergembira dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan)”.
Ya Allah! Peliharalah kami dari balaMu! Lihatlah Keamanan kita juga dirasakan makin terhakis saban hari. Kejadian-kejadian yang meragut ketenteraman mula bertali arus. Setiap kita mula bimbang dan risau atas keselamatan diri dan keluarga sekalipun berada dalam rumah sendiri. Polis pun tidak dapat menyelesaikan ketakutan seperti itu. Wahai pemerintah! Hanya Allah yang dapat mengeluarkan kita dari semua itu. Kembalilah kepadaNya!
Perubahan yang berteraskan taubat kepada Allah perlu dilakukan. Kepimpinan utama mestilah tegas dan ikhlas. Insan-insan yang telah terlibat dengan penyelewengan harta rakyat hendaklah dipupuskan. Mereka perlu disiasat secara telus. Bagaimana mungkin kepentingan negara yang diamanahkan untuk dijalankan, lalu dijadikan sumber kekayaan diri yang luar biasa.
Janganlah dihitung sebesar mana pun kedudukannya, atau serapat manapun persahabatan dengannya. Hak rakyat mestilah dipelihara. Tergamakkah seorang insan yang mengaku beriman memenuhi diri dengan kemewahan harta rakyat, sedangkan berapa ramai rakyat yang masih miskin dan susah, hidup dibanjiri airmata.
Bertaubatlah, kembalikan hak-hak rakyat, belalah mereka yang teraniaya. Jika orang kaya yang dizalimi, ada peguam yang dapat membawa kesnya ke mahkamah. Si miskin yang susah apabila ditindas, tiada peguam yang mampu dibayar, maka tidak ada mahkamah yang sudi mendengar. Namun esakan dan tangisan itu tetap didengari oleh Allah Yang Maha Mendengar. Rintihan itu sampai ke langit tinggi dan Allah akan membalasnya.
Wahai pemimpin! Jika engkau tidak adil, engkau akan didakwa di mahkamah Allah di pandang mahsyar kelak. Juga, jika dosa orang kena zalim itu mustajab di dunia, engkau akan dibalas di dunia dan akhirat. Wahai pemimpin! Bertaubatlah.
Para pemimpin adalah contoh untuk sekelian rakyat di bawah mereka. Mereka diperhatikan. Kemewahan mereka –jika tidak betul cara- menjadi tanda tanya. Sikap dan perwatakan mereka dipersoalkan. Demikian jugalah anak isteri mereka. Gaya yang berlebih-lebihan membuat rakyat merasa jelak. Ada yang sehingga ketika artis hindustan datang ke Malaysia yang terlebih boollywood dari boollywood. Sedangkan dia isteri orang besar.
Sebabnya, ramai seketika dulu merasakan mereka manusia kebal yang tidak mungkin ditumbangkan. Mereka lupa bahawa rakyat sedang merasa mual. Jika pemimpin itu bercakap Islam, buktikanlah menerusi percakapan, pendekatan, sikap dan juga pakaian anak isteri. Jangan berlebih-lebihan, tetapi bersederhanalah dan ikut peraturan. Rakyat tidak bertanya, berapa harga ‘make-up’ datin? Tetapi rakyat akan selalu mengingati kehalusan akhlak dan budi.
Allah pula suka kepada yang merendah diri dan menyayangi sesama muslim. Manusia ini bagaimana pun wataknya, hati nuraninya akan terasa hormat kepada orang yang mengingati Allah dalam ertikata yang sebenar. Diterjemahkan ingatan itu dalam bentuk tawaduk dan ketertiban sikap. Wahai pemimpin! Lakukanlah perubahan kerana Allah dalam hal ini. Nanti rakyat akan menyayangi anda.
Hala tuju negara hendaklah digaris dengan jelas. Saya kadang-kala melihat seakan generasi muda melayu Islam di negara ini dicandukan agar tidak lagi mampu berfikir dengan seimbang. Hiburan-hiburan yang melebihi dari tahap keperluan dan tidak memiliki matlamat yang jelas seakan sengaja dilambakkan untuk hidangan mereka. Inilah yang kelihatan dalam media-media kita sedangkan ketika yang sama gendang ‘Islam Hadhari’ dipalukan. Sebagai tanda restu atau sebaliknya, saya tidak pasti. Lalu anak muda kita dalam khayal dan mabuk, dadah, keruntuhan akhlak dan berbagai.
Maka tidak hairanlah jika mereka tidak mempunyai pandangan yang jelas dan terurus tentang masa depan negara. Lalu kita bising hilangnya nilai-nilai patriotik dalam jiwa jenerasi baru, padahal kita sendiri yang seakan memandulkan minda dan fitrah mereka. Barangkali kita suka, kerana dengan demikian, mereka tidak banyak mempersoalkan kita. Mendidik rakyat adalah tanggungjawab pemimpin yang Allah amanahkan. Bertaubatlah kepada Allah, betulkan perjalanan masa depan negara ini.
Banyak perkara yang patut saya komen tentang Islam Hadhari. Sejak dahulu saya selalu mengelakkan dari menyebut jenama yang mengundang ‘seribu kekeliruan itu’. Saya akan menulis tajuk khas mengenainya, insya Allah. Apa yang penting banyak perkara perlu dibetulkan. Bertaubat!. Kembalilah kepada Islam yang murni lagi asal seperti zaman Nabi s.a.w. Islam yang terbukti membangunkan kehidupan masyarakat yang aman lagi harmoni dunia dan akhirat. Tokok tambah agama hanya menghilangkan keaslian dan keberkatan dari Allah.
Wahai pemimpin! Pena saya tidak menzalimi anda. Sudah setahun, saban minggu ayat-ayatnya berbaris di sini. Bukan untuk menjatuhkan, tetapi mengajak melihat bersama laluan di hadapan. Allah yang memberi kuasa kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan mencabutnya dari sesiapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya taubat adalah penghalang bala bencana. Firman Allah: “Dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedangkan mereka beristighfar (meminta ampun)”. (Surah al-Anfal: 33).
Maka, jadikanlah kerajaan yang sedang merubah dirinya itu sebagai kerajaan yang bertaubat dari segala bentuk ketidakadilan dan ketidaktelusan. Seperti mana insan yang bertaubat, kelihatan bersih bercahaya dan merendah diri kepada Allah, demikian hendaknya kerajaan yang bertaubat.
Terjemahkanlah taubat itu dalam kepimpinan, pengurusan, media dan hati budi pemimpin. Pohonlah kemaafan kepada rakyat, dan kembalikan hak mereka jika ada yang ‘tidak kena’. Demikianlah juga hendaknya sekelian rakyat memohon keampunan dan kembali kepada jalan yang lurus. Inilah jalan keluar yang hakiki dari kemelutkan yang ada.
Jika itu berlaku maka, Allah berfirman: (maksudnya) “Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka segala keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. (Surah al-‘Araf: 96).

Tuesday, April 1, 2008

Perintah Dan Tuntutan Merapatkan Saf

menjaga saf dan merapatkan saf di dalam solat adalah merupakan suatu permasalahan yang kian terabai. Ramai dari kalangan masyarakat hari ini, mengambil mudah dalam hal ini sebagaimana yang banyak berlaku di masjid-masjid sekeliling kita. Saf-saf solat mereka kelihatan renggang, tidak sekata, dan lebih mengecewakan adalah apabila para imam sendiri tidak ambil endah berkenaan hal ini. Sedangkan jika dilihat kepada hadis-hadis Rasulullah s.a.w. dan atsar para sahabat, dalam persoalan merapatkan saf ini, sungguh betapa dititik beratkan kesempurnaannya, dan malah jika gagal menyempurnakannya, ada pula hadis-hadis yang berbentuk ancaman.Meluruskan dan merapatkan saf (barisan) dalam solat berjamaah adalah merupakan suatu hal yang sangat diperintahkan (dituntut), sebagaimana di dalam hadis Nabi s.a.w., (maksudnya), “Luruskan saf-mu, kerana sesungguhnya meluruskan saf itu merupakan sebahagian dari kesempurnaan solat”. (Hadis Riwayat Muslim, no. 433) Dalam Riwayat yang lain, “Sesungguhnya meluruskan saf itu merupakan sebahagian dari mendirikan solat.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 722. Muslim, no. 435) “Sesungguhnya menegakkan saf (meratakan saf), adalah sebahagian dari kebaikan solat.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 723)Hadis tersebut dan hadis-hadis lain yang seumpamanya, kata lbnu Hazm, merupakan dalil wajibnya merapikan saf sebelum dan sepanjang melaksanakan solat. Kerana menyempurnakan solat itu wajib, sedang kesempurnaan saf merupakan sebahagian dari kesempurnaan solat, maka merapikan saf merupakan kewajiban. Juga lafaz ‘amr (perintah) dalam hadis di atas menunjukkan wajib. Selain itu, Rasulullah s.a.w. setiap kali akan memulakan solat (berjemaah), selalu menghadap kepada jamaah dan memerintahkan untuk meluruskan saf, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a.Umar bin Khaththab r.a. pernah memukul Abu Utsman al-Nahdi kerana keluar dari barisan solatnya. Juga Bilal pernah melakukan hal yang sama, seperti yang dikatakan oleh Suwaid bin Ghaflah bahawa Umar dan Bilal pernah memukul bahu kami dan mereka tidak akan memukul orang lain, kecuali kerana meninggalkan sesuatu yang diwajibkan. (Rujuk Fathul Bari, 2/447). Anas r.a. ketika tiba di kota Madinah ditanya, “Apa yang engkau ingkari dari perbuatan kami sejak sepeninggalan Rasulullah?” Dia menjawab, “Tidak ada perbuatan kalian yang aku ingkari kecuali ketika kalian tidak meluruskan saf-saf kalian.” (Diriwayatkan oleh Bukhari di dalam Sahihnya, no. 724)Bahkan Rasulullah s.a.w. sebelum memulakan solat, beliau berjalan merapikan saf dan memegang dada dan bahu para sahabat lalu bersabda, “Hendaklah kalian meluruskan saf-saf kalian atau Allah akan membalikkan wajah-wajah kalian.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 717, Muslim, no. 436)Di dalam riwayat Abu Hurairah r.a.. dia berkata, “Rasulullah biasa masuk memeriksa ke saf-saf bermula dari satu hujung (sisi) ke hujung yang lain, memegang dada dan bahu kami seraya bersabda, “Jangan lah kalian berbeza (tidak lurus safnya), kerana akan menjadikan hati kalian berselisih.” (Hadis Riwayat Muslim)Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari an-Nu’man bin Basyir: beliau berkata, “Dahulu Rasullullah meluruskan saf kami sehingga sampai seperti meluruskan anak panah hingga beliau memandang kami telah faham apa yang beliau perintahkan kepada kami (sehingga saf kami telah rapi – pent.), kemudian suatu hari beliau keluar (untuk solat) kemudian beliau berdiri, hingga ketika beliau akan bertakbir, beliau melihat seseorang yang dadanya terkehadapan, maka beliau bersabda:“Wahai para hamba Allah, hendaklah kalian benar-benar meluruskan saf atau Allah akan memperselisihkan wajah-wajah kalian”. (Diriwayatkan oleh Muslim, no. 436)Sedangkan hadis yang diriwayatkan dari Anas r.a., Beliau bersabda, “Luruskan dan rapatkan saf-saf kalian, kerana sesungguhnya aku melihat kalian dari balik punggungku.” (Diriwayatkan oleh Abu Ya’la di dalam al-Musnad, no. 3720, al-Mukhlis di dalam al-Fawaid (1/10/2), Sa’id ibn Manshur di dalam al-Sunan, dan al-Ismaili sebagaimana di dalam Fathul Bari (2/211). Sanad hadis ini adalah sahih menurut syarat al-Bukhari dan Muslim seperti disebutkan di dalam al-Silsilah as-Sahihah)Imam al-Qurthubi berkata, “Yang dimaksudkan dengan perselisihan hati pada hadis di atas adalah bahawa ketika seseorang tidak lurus di dalam safnya dengan berdiri ke depan atau ke belakang, menunjukkan kesombongan di dalam hatinya yang tidak mahu diatur. Yang demikian itu, akan merosakkan hati dan memungkinkan menimbulkan perpecahan.” (Rujuk: Fathul Bari 2/443) Pendapat ini juga didukung oleh Imam al-Nawawi, beliau berkata, “Berbeza hati maksudnya, terjadi di antara mereka kebencian dan permusuhan serta pertentangan hati. Perbezaan ketika ber-saf merupakan perbezaan zahir dan perbezaan zahir adalah wujud dari perbezaan batin iaitu hati.”Sementara Qadhi Iyyadh menafsirkannya dengan mengatakan “Allah akan mengubah hati mereka secara fizikal, sebagaimana di dalam riwayat lain (Allah akan mengubah wajah mereka)”. Hal itu merupakan ancaman yang berat dari Allah. Sebagaimana Dia mengancam orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam (i’tidal), maka Allah akan mengubah wajahnya menjadi wajah keldai. Imam al-Kirmani menyimpulkan, “Akibat dari pertentangan dan perbezaan di dalam saf, boleh menimbulkan perubahan anggota atau tujuan atau juga perbezaan balasan dengan memberikan balasan yang sempurna bagi mereka yang meluruskan saf dan memberikan balasan keburukan bagi mereka yang tidak meluruskan safnya.”Berdiri di dalam saf bukan hanya sekadar berbaris lurus, tetapi juga dengan merapatkan kaki dan bahu antara satu dengan yang lainnya seperti yang dilakukan oleh para sahabat. Dari Ibnu Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, “Rapatkanlah saf, dekatkan (jarak) antara saf-saf itu dan ratakan bahu-bahu.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan an-Nasai, disahihkan oleh Ibnu Hibban)Di dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Demi jiwaku yang ada di tangan-Nya, aku melihat syaitan masuk di celah-celah saf, sebagaimana masuknya anak kambing.” (Diriwayatkan oleh Abu Daud, no. 666. an-Nasa’i, 2/93. Ahmad, 2/97)Bahkan sehingga ada sebahagian ulama yang mewajibkan hal itu, sebagaimana perkataan Sheikh al-Albani rahimahullah dalam mengulas sabda Nabi s.a.w. “...atau Allah akan memperselisihkan wajah-wajah kalian,” dengan menyatakan, “Sesungguhnya ancaman seperti ini tidak boleh dikatakan termasuk perkara yang tidak diwajibkan, sebagaimana tidak samar lagi.” Akan tetapi sungguh amat sangat disayangkan, sunnah meluruskan dan merapatkan saf ini telah diremehkan bahkan dilupakan kecuali oleh segelintir kaum muslimin.Berkata Sheikh Masyhur Hasan Salman (Rujuk: Majalah FATAWA, vol. 3/no.11, November 2007/Dzulqae’dah 1428):Apabila jamaah solat tidak melaksanakan sebagaimana yang dilakukan oleh Anas dan al-Nu’man maka akan selalu ada celah dan ketidaksempurnaan dalam saf. Dan pada kenyataannya (kebanyakannya) para jemaah solat apabila mereka merapatkan saf maka akan luaslah saf (menampung banyak jemaah) khususnya saf pertama kemudian yang kedua dan yang ketiga. Apabila mereka tidak melakukannya, maka:Pertama: Mereka terjerumus dalam larangan syar’i, iaitu tidak meluruskan dan meluruskan saf.Kedua: Mereka menyediakan celah untuk syaitan dan Allah akan memutuskan mereka, sebagaimana hadis dari Umar bin Khaththab r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda, “Tegakkan saf-saf kalian dan rapatkan bahu-bahu kalian dan tutuplah celah-celah dan jangan kalian tinggalkan celah untuk syaitan, barangsiapa yang menyambung saf nescaya Allah akan menyambungnya dan barangsiapa memutuskan saf nescaya Allah akan memutuskannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah dan al-Hakim) “Dan barangsiapa memutuskan saf (tidak merapatkan atau memenuhkan saf), maka Allah akan memutuskan hubungan dengan-Nya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 785)Ketiga: Terjadi perselisihan dalam hati-hati mereka dan timbul banyak pertentangan di antara mereka, sebagaimana dalam hadis an-Nu’man terdapat faedah yang menjadi terkenal dalam ilmu jiwa, iaitu sesungguhnya rosaknya zahir mempengaruhi rosaknya batin dan begitu jugalah sebaliknya. Di samping itu bahawa sunnah meluruskan dan merapatkan saf menunjukkan rasa persaudaraan dan saling tolong-menolong, sehingga bahu si miskin menempel dengan bahu si kaya dan kaki orang lemah merapat dengan kaki orang kuat, semuanya dalam satu barisan seperti bangunan yang kuat, saling menopang satu sama lainnya.Keempat: Mereka kehilangan pahala yang besar yang dikhabarkan melalui hadis-hadis yang sahih, di antaranya sabda Nabi s.a.w., “Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat kepada orang yang menyambung saf.” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah dan al-Hakim. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Kitabnya Sahih at-Targhib wa at-Tarhib, 1/335)Cara-Cara Merapatkan Saf Yang Betul1 – Merapatkan bahu dengan bahu, lutut dengan lutut, dan mata kaki dengan mata kaki sebagaimana hadis berikut:“Dari Nu’man bin Basyir r.a. berkata: Aku melihat seseorang merapatkan bahunya dengan bahu saudaranya, merapatkan (melekatkan) lututnya dengan lutut saudaranya dan mendekatkan mata kakinya dengan mata kaki saudaranya.” (Hadis Riwayat Bukhari, Kitab Azan, no. 76. Abu Daud, no. 616)2 – Meratakan/meluruskan telapak kaki dengan talapak kaki saudaranya dan meluruskan telapak kaki ke arah kiblat.“Dari Anas bin Malik r.a. berkata, “(Pada waktu solat) masing-masing dari kami meratakan bahunya dengan bahu saudaranya dan telapak kakinya dengan telapak kaki saudaranya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 725)“Baginda menghadapkan hujung-hujung kedua-dua jari-jemari kaki baginda ke arah Kiblat”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Abu Daud) Baginda s.a.w. mengarahkan jari jemari kakinya ke arah kiblat. (Rujuk: Tuntutan Rasulullah Dalam Ibadah, hlm. 19. Ibn Qaiyyim al-Jauziyah – Dinukil dari buku: Solatlah Sebagaimana Rasulullah s.a.w. Solat, Oleh Ustaz Rasul Dahri)

Betul - Kaki diluruskan ke arah hadapan (Kiblat)
Salah - Kaki tidak lurus ke hadapan
3 – Menutup ruang/celahan di antara saf.Dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:“Tegakkanlah saf-saf, sejajarkanlah bahu-bahu kalian, tutupkanlah celah-celah, dan lembutkanlah diri kalian untuk disentuh tangan-tangan saudara kalian. Jangan biarkan celah-celah untuk dimasuki syaitan. Barangsiapa yang menyambung saf, maka Allah menyambungnya dan barangsiapa yang memutuskan saf, maka Allah memutuskannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 666. an-Nasa’i, 2/93. Ahmad, 2/97. Juga dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Abi Daud, 1/197) Di dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Demi jiwaku yang ada di tangan-Nya, aku melihat syaitan masuk di celah-celah saf, sebagaimana masuknya anak kambing.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 667. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abi Daud, 1/198)4 – Meletakkan posisi badan dalam keadaan yang baik/betul.Dari an-Nu’man bin Basyir: beliau berkata, “Dahulu Rasullullah meluruskan saf kami sehingga sampai seperti meluruskan anak panah hingga beliau memandang kami telah faham apa yang beliau perintahkan kepada kami (sehingga saf kami telah rapi – pent.), kemudian suatu hari beliau keluar (untuk solat) kemudian beliau berdiri, hingga ketika beliau akan bertakbir, beliau melihat seseorang yang dadanya terkehadapan, maka beliau bersabda:“Wahai para hamba Allah, hendaklah kalian benar-benar meluruskan saf atau Allah akan memperselisihkan wajah-wajah kalian”. (Diriwayatkan oleh Muslim, no. 436)
Keudukan/susunan Saf Yang Betul Dan Rapi
Kedukan/Susunan Saf Yang Salah yang mana banyak terjadi di sekeliling kita Masa ini
Larangan Membuat Saf SendirianSeorang makmum dilarang membuat saf sendirian, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Wabishah bin Mi’bad, bahawa Rasulullah s.a.w. melihat seseorang solat di belakang saf sendirian, maka beliau memerintahkan untuk mengulang solatnya. (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Tirmidzi. Disahihkan oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abi Daud, 1/299 dan Irwaa’ul Ghalil, no. 541)Menurut Sheikh Muhammad bin Soleh al-Utsaimin (rujuk: asy-Syarhul Mumti’, 4/376-385), jika seseorang menjumpai saf yang sudah penuh, sementara ia sendirian dan tidak ada yang ditunggu, maka boleh baginya solat sendiri di belakang saf itu.Untuk menjaga keutuhan, seseorang dibolehkan untuk maju atau bergerak ke hadapan ketika mana mendapati ada saf di hadapannya yang terputus. Sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Juhaifah, beliau bersabda, “Barangsiapa yang memenuhi celah yang ada pada saf maka Allah akan mengampuni dosanya.” (Hadis Riwayat al-Bazzar dengan sanad yang hasan)Tiada langkah paling baik melebihi yang dilakukan oleh seseorang untuk menutupi celah di dalam saf. Dan semakin banyak teman dan saf dalam solat berjamaah akan semakin afdhal, sebegaimana yang diriwayatkan oleh Ubay bin Ka’ab, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Solat seorang bersama seseorang lebih baik daripada solat sendirian, dan solat bersama dua orang lebih baik dari solat bersama seseorang. Dan bila lebih banyak maka yang demikian lebih disukai oleh Allah ‘Azza wa Jalla.” (Muttafaq ‘Alaih)Terpisahnya Makmum Dengan Imam Kerana DindingDiriwayatkan dari Aisyah, dia berkata, “Rasulullah s.a.w. solat pada malam hari di kamarnya. Sementara dinding kamar itu pendek, sehingga orang-orang dapat melihat Nabi s.a.w., maka sejumlah orang berdiri mengikuti solatnya...” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 729)Memasuki Saf Dalam Keadaan TenangDan ketika memasuki saf untuk solat disunnahkan untuk melakukannya dengan tenang iaitu tidak terburu-buru, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah, bahawasanya ia solat dan mendapati Nabi sedang ruku’ lalu dia ikut ruku’ sebelum sampai kepada saf, maka Nabi berkata kepadanya, “Semoga Allah menambahkan kepadamu semangat (kemahuan), tetapi jangan kamu ulangi lagi.” (Hadis Diriwayatkan oleh Bukhari) Dan dalam Riwayat Abu Daud, ada tambahan, “Ia ruku’ sebelum sampai di saf lalu dia berjalan menuju saf.” (Rujuk artikel berkenaan hal ini di pautan berikut: http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2008/02/082-persoalan-masbuk-ketika-imam-sedang.html)
Rujukan/Disusun Daripada:1 – Majalah FATAWA, vol. 3/no.11, November 2007/Dzulqa’dah 1428.2 – Kertas Kerja: Merapatkan, Meluruskan, & Meratakan Saf Dalam Solat, Oleh Ustaz Rasul bin Dahri.
3 – Solatlah Sebagaimana Rasulullah s.a.w. Solat, Oleh Ustaz Rasul Dahri.
4 - Shahih Fiqih Sunnah, Jilid 2, Oleh Sheikh Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim.
5 – Ensiklopedi Shalat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, Jilid 2, oleh Dr. Sa’id ‘Ali bin Wahf al-Qahthani.